Wawasan diri menjadikan kita manusia yang bertujuan, manusia perancang (planned life) dan manusia yang tahu arah yang hendak ditujunya. Manusia bertujuan ini lebih mengutamakan keutamaan dalam hidupnya, yang mana patut didahului dan yang mana harus dikemudiankan. Hidupnya penuh dengan aktiviti kerana setiap aktiviti yang dilakukan itu untuk memenuhi impiannya. Masa bagi orang yang berwawasan cukup berharga, kerana dia tahu, ruang baginya untuk melepak terbatas. Lagi pula, apa yang dilakukan sekarang akan menentukan apa yang diperolehinya nanti.
Terbinanya sebuah wawasan juga membolehkan kita nampak masa depan.Wawasan bukanlah angan-angan Mat Jenin, tetapi adalah sebuah manifesto diri yang mengenal pasti masalah silam, merangka langkah pembaikan dan menentukan matlamat yang diidam-idamkan. Justeru itu, sebuah wawasan diri yang baik membolehkan kita nampak masa depan dan tahu peranan yang bakal kita mainkan.
Wawasan diri dapat membina dan mengukuhkan keyakinan diri. Pembinaan dan pengukuhan keyakinan diri amat perlu untuk menangani berbagai-bagai masalah. Ingat! apa juga usaha yang kita lakukan pasti ada halangan, rintangan dan cuba-cubaannya. Di sinilah pentingnya keyakinan diri kerana ia menghalang jiwa kita daripada goyah, sehingga segala sesuatu yang datang melanda itu dianggap sebagai cabaran yang mesti dilalui oleh semua orang yang inginkan kejayaan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar